Articles

Pengurusan Harta dalam Islam: Perbezaan Antara Faraid dan Hibah

“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak daripada harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).” Surah an-Nisa’ (7)

Faraid adalah ilmu yang mengatur pembahagian harta warisan di dalam masyarakat Muslim berdasarkan prinsip-prinsip yang ditetapkan oleh Al-Qur’an dan hadith. Ilmu ini sangat penting kerana ianya berfungsi untuk menjaga keadilan dalam pembahagian harta, memastikan bahawa setiap ahli waris mendapatkan haknya sesuai dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

Akan tetapi, realitinya sekarang, semakin banyak miskonsepsi terhadap ilmu faraid yang berleluasa di dalam masyarakat Muslim sedunia. Hal ini berlaku akibat kerana, sesetengah individu berpendapat bahawa pembahagian harta secara faraid adalah tidak adil terutamanya untuk waris perempuan memandangkan bahagian mereka lebih kecil berbanding dengan waris lelaki.

Miskonsepsi ini berlaku kerana kebanyakan individu Muslim lupa akan pembahagian harta secara hibah. Apakah itu hibah?

Hibah adalah satu bentuk pemberian harta secara sukarela yang diberikan oleh seseorang kepada individu lain semasa hayatnya, tanpa mengharapkan balasan atau pampasan. Dalam konteks Islam, hibah dianggap sebagai amalan yang dianjurkan kerana ia memperkuatkan hubungan persaudaraan, memperbaiki silaturahim, dan menunjukkan sikap murah hati serta kasih sayang.

Hibah berbeza dengan konsep faraid, kerana faraid hanya boleh dilaksanakan selepas kematian seseorang, manakala hibah berlaku semasa pemberi masih hidup. Oleh sebab itu, hibah memainkan peranan penting dalam pengurusan harta bagi memastikan agihan yang adil dan mengelakkan pertikaian harta selepas kematian.

Hukum asal hibah memberikan kesan pemilikan yang nyata kepada penerima hibah. Justeru itu, hibah yang telah diberikan tidak boleh dibatalkan. Hal ini dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab r.a., di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Walaubagaimanapun, para fuqaha’ memberikan pengecualian dengan membenarkan pembatalan hibah yang diberikan oleh seorang bapa, ibu, datuk, atau nenek kepada anak atau cucu mereka. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Abbas r.a., di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud)

Maka dengan itu, dapat dilihat dengan jelas bahawa terdapat banyak kelebihan pembahagian harta melalui hibah antaranya adalah:

Melalui hibah, pemberi boleh mengagihkan harta kepada ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang difikirkan layak termasuklah kepada waris perempuan, mengikut kehendaknya tanpa terikat dengan hukum faraid. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa hibah merupakan salah satu cara untuk mengelakkan pertikaian antara ahli keluarga selepas kematian pemberi.

Selain itu, hibah memiliki ciri khas berbanding wasiat dan faraid kerana ianya tidak ada batasan tertentu mengenai jumlah yang boleh dihibahkan. Pembahagian harta melalui hibah berbeza dengan harta yang diwasiatkan, dimana ianya tidak boleh melebihi sepertiga (1/3) daripada harta pusaka manakala pembahagian harta melalui faraid pula mengikuti kadar yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Maka dengan itu, dalam sesuatu situasi, waris perempuan boleh mendapat bahagian yang lebih besar jika pemberi membahagikan hartanya secara hibah.

Namun, dalam konteks hibah kepada anak-anak, adalah disunatkan bagi ibu bapa untuk bersikap adil dengan memastikan pemberian adalah sama rata. Ini selaras dengan hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir r.a. di mana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya bapa datang berjumpa Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sesungguhnya saya telah menghadiahkan anak lelaki saya ini seorang hamba.” Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya (kepada bapa saya), “Adakah setiap anak kamu telah diberikan (pemberian) seperti ini?” Bapa saya menjawab, “Tidak.” Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Kembalikanlah ia.” (Riwayat Bukhari)

Secara kesimpulannya, hibah merupakan instrumen penting dalam pengurusan harta yang berlandaskan syarak. Ia memberikan fleksibiliti kepada pemberi untuk mengagihkan hartanya kepada sesiapa sahaja yang dianggap layak, serta dapat mengelakkan pertikaian keluarga selepas kematian. Bagi masyarakat Islam, memahami konsep dan kepentingan hibah adalah langkah penting dalam merancang masa depan kewangan dan harta, selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Dengan menggunakan hibah, seseorang bukan sahaja dapat memastikan harta diagihkan dengan baik, tetapi juga dapat menjalankan tanggungjawab sosial dan agama dengan lebih efektif.