Articles

Rayu keputusan DUN Rantau

SEREMBAN 29 Nov – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan keputusan DUN itu terbatal dan tidak sah baru-baru ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, rayuan tersebut difailkan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pagi ini iaitu sebelum tempoh memfailkan notis rayuan selama 14 hari berakhir hari ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah meneliti alasan penghakiman lisan oleh Hakim Datuk Norazimah Omar pada 16 November lalu selain bertujuan membersihkannya daripada dakwaan salah laku semasa hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Terbukti dalam penghakimannya, hakim tidak mengaitkan saya walaupun saya diletakkan sebagai responden pertama dalam petisyen pilihan raya. Saya ingin jelaskan sebab ramai yang mengaitkan saya, sedangkan saya hanyalah calon yang bertanding.

“Ini dapat menjelaskan tanggapan dan kekeliruan yang ditimbulkan pihak tertentu bahawa saya bekerjasama dan mempunyai peranan dalam menghalang calon PKR, Dr. S. Streram masuk ke pusat penamaan calon,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hakim Norazimah pada 16 November lalu mengisytiharkan kemenangan Mohamad di kerusi DUN itu terbatal dan tidak sah, selain mengarahkan pilihan raya kecil diadakan serta-merta.

Petisyen bagi membatalkan keputusan kerusi DUN itu difailkan Streram pada 23 Mei lalu.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar menang tanpa bertanding di kerusi DUN itu selepas Streram dihalang masuk bagi menghantar borang pencalonan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dalam petisyennya manakala Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub responden kedua dan SPR responden ketiga.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, rayuan tersebut difailkan hasil perbincangan dengan peguam kerana terdapat ruang perundangan untuk berbuat demikian dan demi kepentingan pengundi di DUN Rantau.

© Utusan Melayu (M) Bhd